ISNIN, 7 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Sebanyak 405 projek bina baharu dan 3,077 baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Tahun 2021 telah dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, ini adalah antara usaha kerajaan untuk menangani kemiskinan serta merapatkan jurang ketidaksamaan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah khususnya di kawasan luar bandar.
“Sasaran bagi program PPRT Sarawak pada tahun 2022 di bawah Rolling Plan Kedua pula adalah untuk membina baharu 700 rumah serta membaik pulih 3,125 rumah,’’ jelasnya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Selain itu, Program ‘Quick Win’ di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) turut dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran sedia ada dalam usaha meningkatkan pendapatan peserta di samping membantu mereka yang ingin memulakan perniagaan,’’ tambah beliau lagi.
Ujar Dato’ Seri Mahdzir, seramai 100 orang peserta dari Sarawak dengan jumlah kos sebanyak RM340,000 telah dipilih untuk menyertai program berkenaan pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan memberi kerjasama sepenuhnya untuk melancarkan pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar Sarawak. -Edisi UKAS