SABERKAS Dan Pemuda PBB DUN Ba’kelalan Perlu Siap Sedia Beri Bantuan Ketika Menghadapi Bencana

ISNIN, 7 MAC 2022

LAWAS: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Ba’kelalan perlu sentiasa bersiap sedia dalam memberikan bantuan dan pertolongan khususnya ketika bencana berlaku. 

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong, bencana seperti banjir dan kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. 

“Khidmat seperti ini sangat diperlukan dalam memberikan bantuan dan pertolongan kepada pihak yang memerlukan bantuan seperti membersih rumah yang ditimpa bencana tersebut. 

“Tidak dinafikan musibah boleh berlaku di mana sahaja termasuk di daerah Lawas dengan terbaru kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Seberang Kedai Lawas,” katanya semasa berucap merasmikan Fun Ride 2022 dan Sarawak X-Tive 2022 di Dewan Gelanggang Pekan Trusan pada Sabtu. 

Seramai 70 orang peserta telah bersama memeriahkan Fun Ride 2022 ini dengan mengayuh basikal sejauh 5 km. 

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada SABERKAS DUN Ba’kelalan dan RM10,000 lagi kepada Pergerakan Pemuda PBB Cawangan DUN Ba’kelalan.

Selepas itu, Dato’ Henry telah menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Seberang Kedai Lawas bagi menghulurkan sumbangan peribadi, dan pada masa sama SABERKAS DUN Ba’kelalan dan Pemuda PBB DUN Ba’kelalan juga turut sama menyerahkan sumbangan bagi meringankan keluarga mangsa. 

Hadir sama Pegawai Daerah Lawas Laidin Atok, Ketua Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lawas Teresa Baru, Ahli Jawatankuasa SABERKAS DUN Ba’kelalan dan Pemuda PBB DUN Ba’kelalan.-EDISI UKAS

add comment