Taman Agro Igan Pacu Visi Sarawak Sebagai Pengeluar Produk Makanan

ISNIN, 7 MAC 2022

MATU: Kerajaan Sarawak serius dalam mencapai visi menjadi pengeluar produk makanan dengan mewujudkan projek Taman Agro Igan yang bercirikan pertanian moden.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, pihaknya telah mengenalpasti tanah seluas 260 ekar milik Lembaga Amanah Kebajikan Islam Igan untuk melaksanakan projek tersebut bersama pihak Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Katanya, pelaksanaan projek itu juga bagi menyahut seruan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berhasrat menjadikan Sarawak sebagai ‘net exporter’ produk pertanian dan tidak bergantung kepada makanan daripada luar.

“Saya dimaklumkan memang keperluan hasil pertanian di kawasan tempatan pun tidak mencukupi namun pasaran sentiasa ada.

“Dan sudah pasti usaha untuk kejayaan yang lebih besar ialah kita mesti mengusahakan dalam skala yang lebih besar.

“Sudah pasti kita mahu rakyat yang dibantu, mereka mesti dididik, mesti ikuti kursus, diajar teknologi, diajar keusahawanan bagaimana mereka berbisnes dalam pertanian dan mesti jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui selepas melawat Ladang Fertigasi Cili Kampung Jebungan pada Ahad.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu telah melawat tapak Projek Taman Agro Igan yang terletak di Jalan Matu-Feri Igan bersama 11 agensi kerajaan.

Menjelas lanjut katanya, projek mega itu adalah untuk jangka panjang dan ia mensasarkan usahawan tani yang benar-benar serius mahu berjaya dalam industri pertanian.

“Kita tidak mahu yang setelah menuai hasil dua tiga kali, mereka terus berhenti.

“Perancangan yang kita buat di Igan adalah satu perancangan besar untuk jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Juanda juga bercadang untuk mengaplikasikan konsep penanaman cili secara fertigasi yang berjaya diusahakan di Kampung Jebungan ke kawasannya di Jemoreng.

Menurutnya, dengan sistem dan bimbingan yang betul, projek pertanian itu mampu mengubah nasib penduduk luar bandar khususnya golongan B40 untuk keluar dari kemiskinan.

“Contoh yang dibuat pihak Sukip Farming bersama dengan peserta beliau di kawasan Jebungan ini adalah satu contoh bagaimana kita mampu membantu penduduk di kawasan luar bandar di samping meningkatkan pendapatan dan juga memastikan mereka ada pendapatan sampingan.

“Bayangkan untuk kawasan seluas setengah ekar, penduduk kita boleh menanam sehingga 2000 pokok cili. Tetapi perkara ini hanya boleh tercapai sekiranya ada bimbingan yang betul, teratur daripada pakar, daripada mereka yang benar-benar terlibat dalam industri,” tambahnya.

Terdahulu, Dr Juanda sempat merasmikan Kejohanan Badminton Tertutup dan Jemputan Jemoreng Badminton Club (JBC) bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Jemoreng.

Katanya, JBC merupakan satu penanda aras kepada usaha dan komitmen anak muda untuk memajukan kampung.

Tambahnya, sebuah lagi dewan akan dibina bersebelahan dengan dewan sedia ada sebagai menghargai pencapaian semasa JBC dalam melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti kemasyarakatan. – EDISI UKAS

add comment