KPWK Tarif Semula Istilah Tenaga Kerja Wanita

SELASA, 8 MAC 2022

MIRI: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) sedang meneliti keperluan untuk mentarifkan semula istilah ‘tenaga kerja wanita’ yang sekarang ini tidak mengambil kira ‘tenaga kerja wanita tidak bergaji’ atau wanita yang bekerja di sektor informal.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, golongan wanita adalah tenaga kerja yang turut menyumbang kepada kesejahteraan keluarga mereka dan pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak.

Menurutnya, KPWK juga sedang mempertimbang mekanisma terbaik untuk menyokong dan mengekal wanita dalam sektor pekerjaan tanpa meminggir atau mengurangkan kepentingan peranan mereka dalam memastikan kesejahteraan, keharmonian dan kelestarian institusi keluarga tetap terus terpelihara.

“Ekuiti gender bermaksud keadilan untuk wanita dan lelaki, mengikut keperluan masing-masing. Ini mungkin termasuk peluang yang sama atau peluang yang berbeza, tetapi yang dianggap setara dari segi hak, faedah dan kewajipan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sambutan Hari Wanita 2020 Peringkat Sarawak yang bertemakan ‘Ekspresi Tinta Wanita’ di sini pada Selasa.

Tema itu dipilih bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita-wanita dalam kalangan penyelidik yang turut menyumbang kepada pembangunan Sarawak melalui penulisan ilmiah.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebagai kesinambangungan kepada inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB), pihaknya mengusul supaya kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan untuk menyediakan subsidi yuran untuk setiap anak keluarga B40 yang dihantar ke Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak swasta.

Katanya, hal ini penting dipertimbangkan bagi membolehkan wanita-wanita bekerjaya terus kekal menyumbang dalam sektor pekerjaan masing-masing.

“Begitu juga halnya dengan keperluan wanita yang berada dalam sektor tidak formal kerana mereka juga menyumbang ke arah pembangunan sosial ekonomi negeri,” jelasnya.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II (Kesejahteraan Masyarakat), Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau dan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf. -EDISI UKAS

add comment