Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baru Cina 2022 Pada 13 Mac Depan

SELASA, 8 MAC 2022

MIRI: Majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baru Cina 2022 anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) akan diadakan pada 13 Mac depan.

Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon berkata, majlis itu akan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bersama Datuk Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siaw Sang.

Katanya, para pemenang akan menerima e-mel daripada pihak penganjur untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah pada hari berkenaan.

“Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baru Cina 2022 telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Miri dengan 120 penyertaan telah diterima selepas tarikh tutup pada 18 Februari lepas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Andy juga memberitahu, para juri yang terdiri daripada Presiden Kehormat Persatuan Fotografi Miri Siew Tick Chai dan Penasihat Kehormat Persatuan Fotografi Miri Vincent Wong Yack Shien bersama Pengerusi Pengelola Alan Yong Siaw Chyang telah mengadakan penilaian permarkahan terhadap penyertaan yang diterima.

Dalam pada itu, Presiden NSJA turut berterima kasih kepada Pustaka Sarawak Miri yang telah menyumbangkan tempat bagi penilaian permarkahan penyertaan.

Pertandingan ini dibahagikan kepada kategori terbuka dan kategori ahli NSJA dengan nilai hadiah berjumlah RM5,000.-EDISI UKAS

add comment