Kerajaan Sarawak Sentiasa Iktiraf Dan Pertahan Hak Tanah NCR Rakyat

RABU, 9 MAC 2022

SONG: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka sekiranya tuntutan itu adalah sahih mengikut perundangan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, perkara ini ditunjukkan melalui pengeluaran Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) kepada para penerima yang sudah diukur Tanah NCR mereka.

“Usaha pengukuran Tanah NCR ini telah dilaksanakan semenjak tahun 1960. Namun, satu inisiatif pengukuran baru telah diperkenalkan pada tahun 2010 demi mempercepatkan lagi kadar pengukuran tanah secara berkesan,’’ katanya pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN Dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Daerah Song pada Rabu.

Menurut beliau, perimeter seluas 1,023,292 hektar telah diukur manakala 793,831 hektar telah diwartakan setakat Februari 2022.

Dalam pada itu, Datu Len menyaran agar rakyat terus bekerjasama dalam usaha melancarkan lagi pengukuran Tanah NCR di Sarawak.

Pada majlis tersebut, sebanyak 274 Surat Hakmilik Tanah telah diserahkan kepada 189 pemilik di daerah Song yang merangkumi kawasan Mukeh Katibas, Sipan, Sesawa dan Telok Jambu, Song.

Selain itu, 122 Lesen TOL turut diberikan kepada penerima-penerima bagi Skim Penempatan Semula Fasa 1, Song, Skim Penempatan Semula Fasa II (Kelompok II) Song, serta Skim Pembesaran Kampung Fasa II (Kelompok II), Song.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, serta Pegawai Daerah Song, Jackline August. -Edisi UKAS

add comment