Lima Tokoh Wanita Diraikan Dalam Sambutan Hari Wanita Sarawak 2022

RABU, 9 MAC 2022

MIRI: Sambutan Hari Wanita Sarawak yang diadakan pada 8 Mac setiap tahun adalah untuk meraikan dan menghargai pencapaian serta sumbangan wanita Sarawak dalam pelbagai bidang khususnya mereka yang telah mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia amnya.

Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak 2022 yang julung kalinya diadakan di bandaraya Miri itu menyaksikan penyerahan lima Anugerah Tokoh Wanita yang telah disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah di Pullman Miri pada Selasa. 

Antara Lima Anugerah Tokoh Wanita ialah Anugerah Premier Sarawak, Kepimpinan Wanita yang diterima oleh Datin Aisah Eden, Anugerah Premier Sarawak Usahawan Wanita, diterima oleh Sandra Trinata Kolarensius Sugeng dan Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial diterima oleh Yang Mulia Raja Noor Akmar Raja Kamil.

Manakala, dua lagi anugerah iaitu Anugerah Khas Premier Sarawak In Scholarly Writting diserahkan kepada Dr Lulie Meling dan Anugerah Pertubuhan Cemerlang diterima oleh Kuching Autistic Association (KAA).

Sementara itu, Wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempat menemuramah penerima Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial, Raja Noor Akmar Raja Kamil.

Katanya, beliau berasa syukur kerana selama 30 tahun bergiat aktif dalam kegiatan sosial dan disokong rakan-rakannya, akhirnya pengorbanannya selama ini telah mendapat pengiktirafan kerajaan Sarawak. 

Turut ditemu ramah, penerima Anugerah Khas Premier Sarawak In Scholarly Writting, Dr Lulie Meling yang berharap lebih ramai lagi wanita diluar sana berusaha lebih gigih dalam mencapai impian dan cita-cita.-EDISI UKAS

add comment