Tangani Isu Banjir Dan Hakisan Pantai Di Parlimen Tanjong Manis

RABU, 9 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera menangani isu banjir dan hakisan pantai yang kerap berlaku di negara terutamanya di kawasan Parlimen Tanjong Manis.

Semasa membuat gesaan tersebut, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, fenomena perubahan iklim dan kenaikan paras laut telah menyebabkan isu banjir kerap berlaku sama ada di kawasan bandar, hulu sungai mahupun di tepi pantai.

“Saya juga difahamkan, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia (KASA) telah membuat pelbagai kajian dan reka bentuk mengenai tebatan banjir serta menganggarkan kos lebih kurang RM390 bilion untuk menyelesaikan masalah banjir dan hakisan pantai dalam tempoh 50 tahun,’’ katanya dalam Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Namun, beliau memohon agar peruntukan tersebut ditingkatkan serta usaha penyelesaian isu-isu berkenaan dipercepatkan lagi kerana rakyat sudah lama menderita.

Pada masa sama, Yusuf mencadangkan agar teknologi pembinaan moden digunakan untuk memelihara struktur pantai demi mengurangkan hakisan.

“Mengambil contoh Pantai Belawai yang kian menjadi kawasan tumpuan pelancong dari Zon Tengah Sarawak, ianya turut terancam oleh fenomena tersebut,’’ tambah beliau.

“Dalam pada itu, amat penting bagi kerajaan memelihara kawasan yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan ini, seterusnya menaiktaraf status sosioekonomi penduduk tempatan,’’ katanya. -Edisi UKAS

add comment