KHAMIS, 10 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Komitmen penuh harus diberikan dalam usaha memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dengan memastikan tiada lapisan yang tercicir serta mendekati golongan yang memerlukan dan serba kekurangan.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, ianya merupakan tanggungjawab bersama Kerajaan, pemerintah, pemimpin setempat dan juga masyarakat sekitar untuk mencapai kepada golongan ini dan memenuhi keperluan asas mereka tidak kira tempat, masa, mahupun latar belakang.
“Perkara ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang merangkumi 17 prinsip yang bersifat universal, tiada sesiapa ketinggalan, inklusif dan kepelbagaian kerjasama antara pemegang taruh yang salih berhubung dan tidak boleh dipisahkan,’’ ujar beliau dalam Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.
Tegas beliau, aspirasi negara untuk mengadaptasi SDG dalam setiap aspek pentadbiran dan pelaksanaan dapat dirungkaikan dengan lebih jelas sekiranya kerajaan guna pakai tujuh aspek yang dirangkumkan dalam prinsip-prinsip SDG berkaitan.
“Aspek-aspek tersebut ialah ekonomi, makanan, kesihatan, persekitaran, peribadi, masyarakat, serta politik,’’ jelasnya.
Dalam perbahasan beliau, Dato Sri Rohani turut menyaran agar kerajaan bertindak lebih proaktif dalam berdepan dengan isu negara tua kerana Malaysia dijangka mencapai status berkenaan menjelang 2030.
“Dengan jangkaan 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara adalah berusia 60 tahun ke atas, negara dijangka beralih kepada status itu lebih awal berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini,’’
Dalam pada itu, beliau berpendapat bahawa lebih banyak bandar mesra golongan warga emas diperlukan dalam usaha memastikan warga emas kekal aktif dan produktif seiring dengan peningkatan usia mereka. -Edisi UKAS