Pemilik Tanah Diberi Pampasan Sewajarnya

KHAMIS, 10 MAC 2022

SIBU: Semua pemilik bagi tanah yang diambil untuk tujuan pembangunan akan diberi pampasan sewajarnya berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh menegaskan, ianya merupakan satu pendekatan kerajaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, serta utiliti dapat terus dijalankan di negeri ini.

“Memang terdapat pertikaian serba sedikit dari segi jumlah pampasan yang dijangka, namun, setakat ini isu tersebut dapat diselesaikan secara berhemat,’’ katanya ketika ditemui wartawan di Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Bagi Projek ‘Baleh – Mapai 500kV Overhead Transmission Line (Sibu Sector – Section E)’ pada Khamis.

Pada majlis tersebut, sebanyak 101 cek pampasan tanah yang berjumlah RM1,641,151.25 telah diberikan kepada 73 penerima bagi projek tersebut manakala 182 surat hakmilik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) telah diserahkan kepada 150 penerima bagi kawasan Pasai Siong, daerah Sibu.

Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN seluas 6,492 hektar turut diserahkan kepada 56 penerima yang melibatkan beberapa kawasan di Kanowit dan kawasan Sepiring, Ulu Balingian.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Datu Len menjelaskan bahawa projek talian penghantaran elektrik tersebut dilaksanakan bagi membolehkan pemindahan kuasa elektrik dari Empangan Hidroelektrik Baleh ke sistem grid Sarawak untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat semenjak pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Perkara ini secara langsung akan mendorong pembangunan ekonomi tempatan melalui pewujudan peluang pekerjaan, perbelanjaan langsung dan tidak langsung, serta perbaikan infrastruktur transmisi tenaga tempatan.

“Ini adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan Sarawak untuk membangunkan infrastruktur asas bagi mencapai visi negeri maju menjelang 2030,’’ tambahnya lagi.  

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, ADUN Ngemah, Anyi Jana, serta Penolong Pengarah (Tanah) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Unus Tambi. -Edisi UKAS

add comment