KHAMIS, 10 MAC 2022
TEBEDU: Program Jerayawara Penglibatan Ibu bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) anjuran Pejabat Pendidikan Serian bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peranan dalam pendidikan anak-anak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, PIBKS ditubuhkan sebagai platfom terbaik untuk ibu bapa, sektor swasta, sekolah dan komuniti agar tetap unggul menjadi nadi mentransformasikan anak-anak pada abad ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jerayawara PIBKS Zon Tebedu dan Zon Taee pada Khamis.
Ujarnya lagi, hubungan baik di antara pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) wajib diamalkan malah diambil berat oleh semua pihak agar prestasi pelajar serta pembangunan fizikal sekolah dapat ditingkatkan.
“Peranan dan tanggungjawab guru di sekolah adalah tidak mencukupi jika tiada kerjasama daripada pihak ibu bapa kerana pelajar hanya berada di sekolah selama 6 jam sehari dan waktu selebihnya 18 jam itu di luar sekolah.
“Jika ibu bapa gagal membentuk anak mereka menjadi orang baik maka hasilnya akan berakhir dengan kegagalan,” jelasnya.
Perincian majlis tersebut turut menyaksikan Perkongsian Amalan Terbaik (PAT) oleh Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Dr Chali Unggang; Pengetua Sekolah Menengah Daerah Serian, Patrick Philip Moss; Guru Besar SK St Ambrose Panchor, Ruddi Juing dan wakil Alumni sebagai peniup semangat dan pencetus idea kepada peserta program.
Dalam pada itu, Dr Simon turut meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000 kepada PIBKS Zon Tebedu dan Zon Taee bagi melaksanakan pelbagai program untuk tahun 2022 seterusnya berjanji akan memberi bantuan kewangan kepada 30 PIBG di dalam kawasan DUN Tebedu pada tahun ini. -EDISI UKAS