JUMAAT, 11 MAC 2022
SIBU: Seramai 30 orang peserta telah menyertai Bengkel Pelaksanaan Pelan Tindakan Bersepadu Daerah Kanowit Bebas Dadah yang diadakan pada 9 hingga 10 Mac.
Program tersebut merupakan program dan intervensi berbentuk penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan bagi menentukan halatuju tindakan gerak gempur bersepadu One Stop Committee (OSC) untuk Menangani Isu Dadah Substance (MIDS) di Sarawak.
Antara agensi yang terlibat adalah Pejabat Daerah Kanowit, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kanowit, Jabatan Narkotik Negeri Sarawak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, AADK Sibu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kanowit, Nakotik Kanowit, Organization for Addiction Prevention Treatment and Rehabilitation (OAPTAR), Klinik Kesihatan Lanang, Pejabat Kesihatan Kanowit dan Persatuan Mengcegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kanowit.
Difahamkan, bengkel OSC MIDS Daerah Kanowit ini adalah siri keempat yang dianjurkan oleh OSC MIDS Negeri melalui Majlis Pembangunan Sosial dengan kerjasama OSC MIDS Daerah Kanowit.
Majlis penutupan bengkel anjuran Pejabat Daerah Kanowit itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohamad Razi Sitam di Li Hua Hotel Sibu pada Khamis.
Difahamkan, pelaksanaan bengkel ini akan diteruskan ke semua daerah-daerah OSC MIDS lain yang sudah menubuhkan Biro-Biro MIDS Kawasan Penghulu masing-masing. – EDISI UKAS