GPS Pastikan Kawasan Luar Bandar Di Seluruh Sarawak Dibangunkan

JUMAAT, 11 MAC 2022

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg amat mengambil berat terhadap pembangunan di kawasan luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kalau dilihat pada sasaran pembangunan untuk tahun ini, sebanyak 64 peratus daripadanya adalah untuk kawasan luar bandar.

Menurut beliau, ia adalah satu bukti bahawa kerajaan Sarawak tidak mengabaikan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Polisi ini merangkumi apa sahaja yang diperlukan untuk pembangunan kawasan luar bandar dan kita akan pastikan kawasan luar bandar di seluruh Sarawak akan dibangunkan.

“Jadi saya berharap rakyat jelata memahami bahawa kami sedang berusaha sedaya upaya untuk membangunkan Sarawak,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penutupan Bengkel Pangkalan Data Penghubungan Jalan Bagi Kawasan Luar Bandar di Damai Beach Resort pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, kerajaan kini dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai satu wilayah berpendapatan tinggi termasuk di kawasan luar bandar dalam pelaksanaan strategi pasca COVID-19.

Dalam pada itu, seramai 180 peserta dari pelbagai agensi teknikal dan bukan teknikal telah menyertai bengkel tersebut yang dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut bahagian masing-masing.

Antaranya ialah, kumpulan satu merupakan Kumpulan dari Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, kumpulan dua pula dari Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit, manakala kumpulan tiga merupakan kumpulan dari Bintulu, Miri dan Limbang.

Bengkel tersebut diadakan bagi mengemas kini status perhubungan jalan raya ke penempatan luar bandar di Sarawak, menghasilkan senarai projek dan peruntukan mengikut bahagian yang diperlukan untuk naik taraf serta pembinaan dan merangka program pelaksanaan bagi menaik taraf jalan serta pembinaan ke penempatan luar bandar.

Turut hadir, Timbalan Menteri Infrasruktur dan pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrasruktur), Ir. Aidel Lariwoo. -EDISI UKAS

add comment