Pejabat Daerah Tatau Anjur Sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Tatau 2022

JUMAAT, 11 MAC 2022

TATAU: Pejabat Daerah Tatau telah menganjurkan Sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Tatau 2022 pada Jumaat.

Pegawai Tadbir Daerah Tatau Calvin Ligong berkata, penganjuran program tersebut telah diisi dengan pelbagai program menarik seperti senamrobik dan sesi ceramah.

“Pengisian program menarik bermula dengan senamrobik dan diteruskan dengan tiga ceramah yang amat penting untuk kaum wanita merangkumi aspek pendidikan anak-anak, kesihatan dan keselamatan,” katanya semasa berucap mewakili Pegawai Daerah Tatau.

Calvin menambah, sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak bertemakan “Ekspresi Tinta Wanita” telah disambut pada 8 Mac lepas yang turut diikuti kakitangan Pejabat Daerah Tatau menerusi Zoom.

“Syukur kita dapat meraikannya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pada tahun ini setelah dua tahun sambutan Hari Wanita tidak disambut disebabkan pandemik COVID -19,” ujarnya lagi.

Seramai 50 orang telah menyertai program ini yang melibatkan peserta dari kalangan jabatan kerajaan seperti dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Tatau, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau – Sebauh, Ketua Masyarakat dan dan Ketua Kaum (KMKK), Tuai Rumah serta wakil dari Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK).-EDISI UKAS

add comment