Pemimpin Masyarakat Yang Dilantik Perlu Berintegriti

JUMAAT, 11 MAC 2022

TEBEDU: Pemimpin masyarakat yang dilantik harus berintegriti dan memberikan tumpuan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat dengan sebaiknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang berkata, mereka juga perlu sentiasa memantau segala aktiviti atau projek pembangunan di kawasan masing-masing. 

Tambah Dr Simon, ketua kaum turut bertanggungjawab melaporkan pelaksanaan sesuatu projek yang lambat, sakit, tidak mengikuti spesifikasi atau gagal mengikut jadual. 

“Kita tidak mahu integriti kita dipersoalkan dan kita tidak mahu masyarakat kita dipermainkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi. 

“Ini amat penting agar semua aktiviti atau projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berjalan dengan lancar sekaligus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jelajah Integriti Siri 1/2022 di Dewan Masyarakat Tebedu pada Khamis. 

Beliau yang mewakili Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Intergriti dan Ombudsman), Dr Juanda Jaya kemudian mengucapkan ribuan terima kasih kepada Unit Integriti dan dan Ombudsman Negeri (UNION) selaku penganjur kerana telah memilih daerah Tebedu sebagai lokasi pertama program bagi tahun 2022. 

Sementara itu tegasnya, isu-isu berhubung jenayah, gejala sosial khasnya masalah penagihan dadah, penyeludupan barangan kawalan serta isu pendatang asing tanpa izin juga harus diberi tumpuan termasuk membendung gejala rasuah di kalangan masyarakat, kakitangan awam mahupun pihak kontraktor.

Ini kerana jelasnya, kerajaan Sarawak amat komited untuk membentuk dan membudayakan masyarakat berintergriti tinggi lebih-lebih lagi dalam sektor awam.

Turut hadir, Pengarah UNION, Adana Jed; Residen Bahagian Serian, Tuah Suni dan Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng. -EDISI UKAS

add comment