JUMAAT, 11 MAC 2022
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkesempatan menghadiri sesi taklimat bersama dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di kediaman beliau pada Jumaat.
Meskipun masih dalam tempoh pengasingan, dengan keadaan yang semakin pulih dan kelihatan agak sihat, beliau sempat menghadiri sesi taklimat menerusi aplikasi Zoom selama satu jam.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari diberi taklimat mengenai satu Prosedur Operasi Standard (SOP), sembilan garis Panduan ke Fasa Endemik, perkara-perkara mengenai VTL (Vacinnated Travel Lane) dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.
Dalam pada itu, pandangan dan cadangan telah dikemukakan khususnya mengenai pembukaan semua sempadan negara, terutama sempadan Sarawak dengan negara-negara jiran di mana beberapa ketetapan telah dibuat yang akan diumumkan oleh JPBNS.
Turut sama dalam sesi tersebut menerusi zoom di lokasi masing-masing adalah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.-EDISI UKAS