Program Bag2School Di Sarawak, Bantu Golongan Memerlukan

JUMAAT, 11 MARCH 2022

SERIAN: Program Bag2School (BTS) 2.0 anjuran Pertubuhan Kebajikan Dana Kita dilaksanakan julung kalinya di Sarawak.

Ianya merupakan program tahunan yang menumpukan sumbangan berteraskan pendidikan dan bantuan keperluan asas persekolahan termasuk bakul makanan bagi membantu golongan memerlukan di dalam dan luar negara.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah II (Pembangunan Wilayah) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben  memberitahu, program tersebut mencerminkan kesungguhan semua pihak bagi memastikan golongan memerlukan diberikan bantuan yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Program Bag2School (BTS) Pertubuhan Kebajikan Dana Kita Zon Sarawak @ Bahagian Serian Tahun 2022 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada Jumaat.

Difahamkan, seramai 70 pengetua dan guru besar dari sembilan buah sekolah menengah dan 99 buah sekolah rendah di bahagian Serian terlibat dalam majlis berkenaan.

Turut hadir ialah ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Residen Bahagian Serian, Tuah Suni, dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Mohd Fadli Mohamed Salleh. -EDISI UKAS

add comment