Generasi Muda Perlu Siap Sedia Jadi Pelapis Kesinambungan Tampuk Pimpinan Sarawak

SABTU, 12 MAC 2022

KUCHING: Generasi muda Sarawak yang akan menjadi pelapis kesinambungan tampuk pimpinan negeri ini perlu bersiap sedia untuk memastikan sasaran Sarawak menuju ke arah negeri maju pada tahun 2030 tercapai.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy  Shukri berkata, mereka perlu dilibatkan bersama agar dapat membangunkan negeri ini dan berganding bahu membantu menguruskan masyarakat.

Ujar beliau, Perlembagaan Persekutuan telah meluluskan penurunan umur pengundi dari 21 tahun ke 18 tahun dan Kerajaan Gabungan parti Sarawak (GPS) juga telah meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membenarkan pemilih berdaftar berumur 18 tahun secara automatik turun mengundi.

“Sebagai sebuah parti dinamik yang sentiasa mendengar aspirasi golongan muda, PBB mahu anak muda Sarawak yang akan menjadi pelapis kesinambungan tampuk pimpinan hari ini, bersiap sedia untuk memastikan sasaran Sarawak menuju ke arah negeri maju 2030 tercapai.

“Justeru, anak-anak muda perlu dilibatkan bersama pada umur tersebut, agar mereka dapat membangunkan negeri ini dan berganding bahu, membantu menguruskan masyarakat di Sarawak,” katanya ketika berucap secara maya pada Majlis Makan Malam Program Retreat Simunjan Frontliner Team, pada Jumaat.

Dato Sri Nancy memberitahu lagi, untuk tujuan itu juga dan dengan seiring keadaan politik semasa, pindaan perlembagaan PBB bagi mewujudkan sayap baharu untuk golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun, akan dibuat pada Persidangan Agung Tiga Tahunan (TGM) Jun depan.

Tambahan pula katanya, sebagai sebuah parti yang progresif, Pati Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan GPS secara keseluruhannya adalah sebuah parti yang ‘mesra orang muda’.

“Buktinya, sebelum diwujudkan undang-undang undi automatik untuk orang muda berumur 18 tahun, beberapa dasar khusus yang mengutamakan kebajikan pelajar dan anak muda telah dimanfaatkan seluruh anak muda di Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang turut hadir berkata, beliau sangat senang bekerjasama dengan Dato Sri Nancy dalam membangun dan membentuk Simunjan yang baru.

Awla juga berkesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada ketua-ketua ranting bapa, wanita dan pemuda yang telah dipilih dalam pemilihan ranting baru-baru ini.

add comment