Pusat Khidmat Pelawan Lancar Dua Program Komuniti, Ringankan Beban Rakyat

SABTU, 12 MAC 2022

SIBU: Sempena pembukaan pusat khidmat baru, Pusat Khidmat Pelawan telah melancarkan dua program komuniti sebagai inisiatif membantu rakyat di konstituensi tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Micheal Tiang Ming Tee program pertama adalah bantuan berjumlah RM500 kepada pasangan yang baharu melangsungkan perkahwinan dengan salah seorang daripada mereka adalah pengundi di DUN Pelawan.

Manakala program kedua katanya adalah bantuan RM300 di bawah program bayi baru lahir yang diberikan kepada ibu bapa yang mana salah seorang daripada mereka juga adalah pengundi di konstituensi tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II menjelaskan permohonan itu hanya layak untuk perkahwinan atau bayi yang didaftar atau dilahirkan mulai Januari 2022.

“Mereka boleh memohon secara atas talian di Pusat Khidmat N54 Pelawan google form atau datang ke pusat khidmat kita untuk memohon ‘angpau’ di mana kita akan memberi pasangan yang baharu berkahwin ini RM500.

“Satu lagi pakej adalah untuk bayi yang baharu lahir di mana jika ibu atau bapa bayi berkenaan merupakan pengundi di DUN Pelawan, mereka boleh memohon bantuan sebanyak RM300 dengan datang ke pusat khidmat atau secara atas talian,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Khidmat N.54 Pelawan pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II menjelaskan pusat khidmat itu juga telah melantik Ketua Masyarakat (Kapitan) yang baharu dan ditempatkan di situ secara bergilir-gilir untuk menghulurkan bantuan kepada orang ramai.

Tambahnya, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menghubungi pusat khidmat tersebut kerana pihaknya menyediakan pelbagai kaedah iaitu secara atas talian, menggunakan aplikasi whatsapp atau pergi terus ke pusat berkenaan.

Pusat Khidmat Pelawan dibuka kepada orang ramai dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 malam dan akan ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek. – EDISI UKAS

add comment