RM90,000 Diperuntuk Naik Taraf Pendawaian Elektrik Rumah Panjang Nyandang

SABTU, 12 MAC 2022

BINTANGOR: Penduduk di Rumah Panjang Nyandang, Sg Rayah Bintangor kini boleh menarik nafas lega selepas kerja-kerja menukar pendawaian bekalan elektrik di rumah mereka telah selesai.

Projek Transformasi Luar Bandra (RTP) di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing itu menelan kos sebanyak RM90,000 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei.

Datuk Ding yang meninjau projek itu pada Khamis amat gembira kerana kerja-kerja menaik taraf rumah panjang dengan 26 pintu itu telah selesai sekali gus akan menjamin keselamatan penduduknya dari berlakunya litar pintas bekalan elektrik.

Katanya, pelaksanaan Projek RTP akan dijalankan secara berperingkat mengikut dana yang telah diluluskan melalui Kerajaan Sarawak pada setiap tahun dan kontraktor akan dilantik melalui agensi pelaksana dengan cabutan undi.

Dalam pada itu, Datuk Ding menambah pelaksanaan projek RTP akan secara berterusan pada setiap tahun oleh Kerajaan Sarawak di bawah pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bagi menjamin pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini termasuk di Daerah Meradong.

Sementara itu, penduduk Rumah Panjang Nyandang amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya ADUN Meradong kerana telah meluluskan peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan di rumah mereka. – EDISI UKAS

add comment