AHAD, 13 MAC 2022
BINTANGOR: Program Jualan My Rakyat merupakan program yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Perasmian program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing di Tebingan Sungai Bintangor pada Sabtu.
Seramai 30 orang usahawan yang telah menawarkan pelbagai jualan istimewa produk pertanian dan industri asas tani bagi memberi kepuasan pilihan kepada pengunjung yang hadir.
Antara pengisian dan aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari penganjuran program tersebut adalah Jualan Happy Hour, Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Produk Segar, Industri Asas Tani dan pelbagai lagi.
Turut diadakan adalah promosi dan demonstrasi produk usahawan setempat untuk pengunjung yang hadir.
Dalam pada itu, pelbagai program khidmat pemasaran FAMA yang memberi manfaat secara terus kepada pengguna turut ditawarkan di dalam My Rakyat seperti Jualan Terus Dari Ladang, Jualan Terus Dari Kilang dan pelbagai lagi.
My Rakyat mensasarkan jualan barangan segar dan runcit yang berkualiti kepada penduduk setempat di samping mengwujudkan ruang dan luang perniagaan yang lebih kepada usahawan tani.
Pelbagai jenis jualan hasilan pertanian yang boleh didapati pada program ini seperti sayur-sayuran, buah-buahan input pertanian dan lain-lain.
Untuk rekod, sebanyak RM3.39 juta nilai jualan telah direkodkan menerusi program jualan My Rakyat dengan penyertaan seramai 4,736 orang usahawan di 146 lokasi seluruh negara bagi tahun 2021.
Manakala bagi tahun 2022, FAMA telah mensasarkan sebanyak 152 lokasi penganjuran di seluruh negara dengan nilai jualan RM3.5 juta. – EDISI UKAS