AHAD, 13 MAC 2022
SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis telah melawat ke tapak rumah panjang baharu 17 pintu Rh Chembol Tagai, Kampung Tinting Kubal, Titikah, Batu Lintang, Undop pada Jumaat.
Pada lawatan tersebut, Datuk Harden menasihati para penduduk yang ingin mewujudkan rumah panjang baharu agar menyediakan dokumen sewajarnya melalui mesyuarat yang diminitkan dan mengandungi perkara penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan senarai Ketua Isi Rumah yang bersetuju.
Kata beliau, kerajaan sentiasa mengambil berat permintaan penduduk rumah panjang yang memerlukan bantuan dalam hasrat mereka mewujudkan kampung baharu.
Justeru, penduduk yang berhasrat untuk mewujudkan rumah panjang baru perlu akur dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah yang antaranya seperti mengadakan mesyuarat terlebih dahulu, mengemukakan senarai nama Ketua Keluarga lengkap dengan nombor Kad Pengenalan dan menandatangani tanda persetujuan.
Pada lawatan tersebut juga, seramai 22 orang penduduk secara sukarela memohon mendaftar sebagai ahli Parti SUPP Cawangan Simanggang dan hasrat tersebut disambut baik oleh Datuk Francis selaku Pengerusi SUPP Cawangan Simanggang.-EDISI UKAS