AHAD, 13 MAC 2022
KOTA SAMARAHAN: Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn telah menghadiri lawatan rasmi ke Sarawak Tropical Research Peat Institute (TROPI) yang terletak di Kota Samarahan pada Sabtu.
Rombongan beliau yang juga disertai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis telah disambut oleh Pengarah TROPI Sarawak, Dr Lulie Melling serta pegawai dari institusi berkenaan itu.
Semasa lawatan tersebut, satu taklimat mengenai fungsi TROPI telah disampaikan oleh Dr Lulie Melling merangkumi Visi serta Misi institusi tersebut dibawah Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) bagi menjalankan kajian khas berkenaan kegunaan tanah gambut terhadap ekonomi melalui guna tanah untuk tanaman.
Seterusnya, rombongan tersebut telah melawat ke bahagian-bahagian penyelidikan dalam institut berkenaan.
Untuk rekod, TROPI Sarawak merupakan sebuah institusi penyelidikan yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan banyak menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam mahupun luar negara terutama dalam bidang penyelidikan tanah gambut. -EDISI UKAS