Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM3.6 Juta Bina Baharu Masjid Darul Abidin

AHAD, 13 MAC 2022

KUCHING: Penduduk Kampung Tanjong Bako, Kuching kini boleh mengukir senyuman kerana Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.6 juta bagi pembinaan Masjid Darul Abidin yang baharu.

Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Masjid Darul Abidin yang berusia 36 tahun itu memerlukan infrastruktur yang baru dan dapat menampung jumlah jemaah yang lebih ramai.

“Pembinaan masjid baharu ini juga membolehkan ahli kariah masjid ini melaksanakan ibadah dengan lebih selesa.

“Rata-rata penduduk kampung ini turut bersyukur di atas keprihatinan kerajaan atas kelulusan permohonan ini.” katanya semasa berucap dalam Program Mesra Bersama Rakyat di Kampung Tanjong Bako, di sini pada Ahad.

Jelasnya lagi, peruntukan tersebut termasuklah untuk meroboh dan membina semula Masjid Darul Abidin Kampung Tanjong Bako.

Oleh itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang) merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana telah merealisasikan hasrat penduduk kampung.

Terdahulu, semasa melawat empat buah keluarga mangsa kebakaran di kampung tersebut, Dato Sri Wan Junaidi juga telah menyalurkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada mangsa kebakaran.

Peruntukan tersebut adalah untuk membina baharu rumah secara bersama iaitu konsep gotong royong.

Beliau berharap agar bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka yang terjejas.-EDISI UKAS

add comment