AHAD, 13 MAC 2022
KUCHING: Selepas sambutan menggalakkan dalam edisi di Bintulu, penganjuran Kursus Asas Sukan Muaythai diteruskan di Bahagian Kuching sebagai usaha mencungkil bakat baru dalam sukan kombat itu.
Kali ini, Persatuan Muaythai Sarawak (PMNS) bergandingan dengan Pusat Pembangunan Muaythai Kuching menganjurkan kursus berkenaan yang diadakan di Pusat Gimnasium Sting Muaythai, Kuching pada Sabtu, 12 Mac 2022.
Selain itu, ia turut mendapat kerjasama dari Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Pesatuan Muaythai Kuching (PMK) dan Kelab Sting Muaythai Gym.
Sasaran peserta adalah remaja berusia bawah 16 tahun yang berminat dalam sukan muaythai.
Kursus tersebut sangat komprehensif di mana selain memberi pendedahan dalam bentuk teori, peserta juga didedahkan dengan amali mengenai sukan muaythai yang dikendalikan oleh Jurulatih Pusat Pembangunan Muaythai Kuching, Zulkeplie Abdul Rahman.
Antaranya, asas muaythai (steps & position), teknik asas 8 komponen senjata muaythai, asas pertahanan dalam muaythai, latihan berpasangan, punching bag, padding dan asas Wai Kru.
Menurut Presiden PMNS merangkap Penasihat Program, Haji Jumaat Ibrahim, objektif utama penganjuran kursus tersebut adalah memberi pendedahan kepada setiap kanak-kanak dan remaja agar dapat mengenali dan mempelajari silibus asas sukan muaythai.
“Objektif utama kursus ini diadakan adalah untuk mempromosi sukan muaythai dalam kalangan remaja kita.
“Kursus ini memberi impak kepada kanak-kanak dan remaja dengan meningkatkan keyakinan dan potensi diri mereka kerana ia mendedahkan kepentingan mempelajari muaythai, kecergasan dan sekaligus sebagai mempertahankan diri.
“Hasil daripada program kursus ini, akan dapat mencungkil bakat-bakat baru daripada petinju-petinju di setiap kelab untuk diketengahkan di dalam apa-apa jua kejohanan muaythai yang dipertandingkan samada di peringkat daerah, negeri maupun kebangsaan,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
Beliau juga merakamkan setinggi penghargaan ke atas SSC dan PMK yang telah memberikan sokongan sehingga membolehan kursus berkenaan dianjurkan dengan jayanya.
Tidak lupa katanya penghargaan kepada pihak ‘Nasi Abe Original’ yang menyumbang makanan semasa kursus.
Kursus tersebut akan diteruskan di Gym Phoenix Meranek Samarahan pada Ahad, 13 Mac dan akan dikendalikan oleh Jurulatih Pusat Pembangunan Samarahan, Roslan Johani.
Presiden PMK, Hasbi Bolhi telah menyampaikan sijil kepada para peserta manakala Presiden Persatuan Muaythai Samarahan, Azmanni Mohammed dijadual menyampaikan sijil kepada peserta kursus pada Ahad.
Manakala kursus di Bintulu yang diadakan pada 14 Februari lepas diadakan di Vortex Fitness Bintulu Sentral adalah anjuran Pusat Pembangunan Muaythai Bintulu dan PMNS dengan kerjasama dari PS Muaythai Bintulu dan Vortex Fitness Bintulu.
Ia dikendalikan oleh Jurulatih Pusat Pembangunan Bintulu, Farid Dahalan.
Kesemua kursus berkenaan dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. – EDISI UKAS