Program Bag To School (BTS) 2.0 Edisi Sarawak santuni pelajar asnaf, B40

AHAD, 13 MAC 2022

KUCHING : Sebanyak 2,000 beg sekolah telah disumbangkan kepada para pelajar terdiri daripada golongan asnaf dan mereka yang di bawah kategori B40 sempena Program Bag to School (BTS) 2.0 Edisi Sarawak.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak (Sektor Pembangunan Murid), Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad di Masjid Jamek Negeri Sarawak pada Ahad.

Simbolik perasmian adalah pengagihan beg-beg sekolah secara pandu lalu kepada pengetua-pengetua dan guru-guru besar daripada sekolah-sekolah yang terpilih bagi mewakili pelajar masing-masing.

Menurut Presiden Pertubuhan Dana Kita, Mohd Fadli Mohammad, ini merupakan julung kalinya Program Bag to School (BTS) 2.0 Edisi Sarawak anjuran Pertubuhan Kebajikan Dana Kita dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) diadakan di Sarawak.

Program tersebut bertujuan membantu meringankan beban terutamanya pelajar daripada golongan asnaf, selain sebagai platform untuk berkongsi rezeki bagi mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, sumbangan turut diserahkan kepada 86 buah sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, serta masing-masing 100 buah beg kepada PPD Samarahan dan PPD Padawan serta Pejabat Bank Negara Kuching.

Di samping itu, bantuan juga turut dihulurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) dan Baiturrahmah Hidayah Centre, Kuching.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai; wakil-wakil daripada PPD Kuching, Padawan dan Samarahan; wakil Pertubuhan Kebajikan Dana Kita serta wakil Pejabat Bank Negara Kuching.-EDISI UKAS

add comment