AHAD, 13 MAC 2022
KOTA SAMARAHAN: Kerjasama erat dan kesepakatan jitu harus dipupuk dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, perkara ini adalah penting demi menjamin pembangunan lancar di sesebuah kawasan atau perkampungan.
“Mustahil kita dapat menuju ke arah kemajuan dalam keadaan yang pecah-belah,” tegasnya pada Majlis Gotong-Royong Perdana Dan Santai Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Niup pada Sabtu.
Beliau menzahirkan rasa teruja atas kesepakatan antara penduduk kampung berkenaan yang masih membudayakan amalan gotong-royong.
“Tradisi serta kesepakatan sebegini boleh terus dikekalkan melalui penganjuran program dan aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.

Pada majlis sama, Datuk Rubiah telah meluluskan permohonan untuk projek dataran kejat di perkarangan Masjid Darul Istiqamah yang masih belum berturap.
“Diharapkan dengan adanya dataran kejat ini, ianya akan menggalakkan penganjuran lebih banyak aktiviti, sekaligus memupuk budaya kesepakatan antara masyarakat Kampung Niup,” tambahnya lagi.
Beliau turut memberi kesyukuran atas pembinaan baharu masjid berkenaan yang dianggap sesuai dengan keperluan masyarakat masa kini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penghulu Kampung Niup, Mahdi Johan, Ketua Kaum Kampung Niup Tradisi, Awang Bahrin Awang Mohri, serta Ketua Kaum Kampung Niup Tengah, Ali Suhaili. -Edisi UKAS