ISNIN, 14 MAC 2022
KUCHING: Golongan muda Sarawak perlu bersedia sebagai pelapis pemimpin negeri ini pada masa depan.
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, aspek kesinambungan kepimpinan perlu diberi perhatian untuk memastikan sasaran Sarawak menuju ke arah negeri maju 2030 tercapai.
Menurutnya, kerajaan Sarawak telah banyak mengadakan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang disediakan untuk pemimpin baharu dan orang muda.
“Sebagai satu parti dinamik yang sentiasa mendengar aspirasi golongan muda, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu anak muda Sarawak yang akan menjadi pelapis kesinambungan tampuk pimpinan hari ini.
“Mereka perlu bersiap sedia untuk memastikan sasaran Sarawak menuju ke arah negeri maju 2030 tercapai,” katanya semasa berucap secara maya pada Majlis Makan Malam Program Retreat Simunjan Frontliner Team.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy Shukri menegaskan, pelbagai program perlu diadakan bagi melahirkan bakat kepemimpinan muda.
Tegas beliau, inisiatif berkenaan antara platform terbaik untuk golongan muda menyuarakan aspirasi dan pandangan masing-masing untuk didengari kerajaan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS