ISNIN, 14 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus menjalin jaringan kerjasama dengan agensi-agensi lain untuk menangani kes penipuan dalam talian dan media elektronik.
Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kes penipuan dalam talian dan media elektronik sememangnya meningkat susulan penularan wabak COVID-19 yang membudayakan norma baharu urusan jual beli iaitu secara dalam talian.
“Dari Tahun 2020 hingga 17 Februari 2022, pihak KDPNHEP telah menerima 24,011 aduan di mana kerugian sebanyak RM21.7 juta telah direkodkan berkaitan penipuan sebegini,’’ katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Jelasnya lagi, bagi membanteras kegiatan manipulasi oleh peniaga yang tidak beretika, pihak Kementerian sedang bekerjasama dengan pihak-pihak seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat-syarikat telekomunikasi dan pengendali tapak pasar dalam talian.
Tambah beliau, KPDNHEP turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Multimedia, pengendali tapak pasar dalam talian serta pemain-pemain industri lain berkaitan tindakan penguatkuasaan perundangan transaksi dalam talian secara bersepadu selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang.
Dalam pada itu, Dato Sri Alexander berharap agar Kerajaan terus memberi peruntukan untuk memperkasakan lagi kemahiran pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP supaya setaraf dengan pembangunan teknologi masa kini. -Edisi UKAS