Rebut Peluang Sedia Ada Untuk Tingkatkan Taraf Ekonomi Keluarga

ISNIN, 14 MAC 2022

MARUDI: Peranan wanita hari ini sangat penting bukan sahaja dalam institusi kekeluargaan, tetapi juga dalam meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala berkata, ini dapat dilihat apabila semakin ramai kaum wanita berkecimpung dalam perniagaan dan berjaya.

“Perubahan ini perlu dilakukan dan wanita perlu mengambil setiap peluang yang ada termasuk menggunakan media sosial dalam menjana pendapatan harian.

“Misalnya, pemasaran hasil kraftangan menggunakan media sosial telah mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dalam negeri, tetapi juga luar negara,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penutupan Program Peransang Penemu anjuran Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Pampang Marudi di Dewan Suarah Marudi pada Sabtu. 

Ujar Dato Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi lagi, golongan wanita juga boleh mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Sarawak menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dalam membantu memperkembangkan lagi sektor perniagaan yang diceburi.

Seramai 48 orang peserta telah mengikuti Program Peransang Penemu ini yang diadakan selama dua hari.

Sementara itu, bagi Pengerusi SIDS Pampang Marudi yang juga Pengerusi Pengelola Kaunselor Yanti Nyanggau, mahu wanita Dayak mempersiapkan diri dengan ilmu dan kreatif untuk maju bersama dalam apa jua bidang. 

Pada majlis itu, Dato Gerawat telah mengumumkan bantuan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada SIDS Cawangan Marudi. 

Turut sama hadir Pemanca Randie Bundan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Marudi dan Tuai-turi rumah.-EDISI UKAS

add comment