ISNIN, 14 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 akan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini bagi memperluas dan menambah baik skop penguatkuasaan yang sedia ada.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pindaan berkenaan merangkumi pindaan kepada Seksyen 10 serta pengenalan tiga seksyen baharu iaitu Seksyen 12A, Seksyen 12B, serta Seksyen 25A.
“Pindaan kepada Seksyen 10 akan memperluas kuasa tangkapan tanpa waran untuk mereka yang didapati menjalani penyelewengan di bawah akta ini,’’ katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat di Dewan Rakyat pada Isnin.
Terdahulu, Datuk Robert bertanya mengenai usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) untuk meminda serta mengemas kini undang-undang yang sedia ada supaya relevan dengan cabaran semasa.
Jelas Dato Sri Alexander, pengenalan Seksyen 12A akan memberi kuasa kepada pegawai bekalan untuk menjual barang kawalan disita yang bersifat mudah rosak, mudah terbakar atau melibatkan penjagaan yang memerlukan kos tinggi.
“Manakala, pengenalan Seksyen 12B akan memberi pengecualian tuntutan terhadap kerajaan oleh mana-mana pihak berkenaan barang yang disita melainkan penyitaan tersebut dibuat tanpa sebab yang munasabah.
“Seksyen 25A pula diperkenalkan bagi mewujudkan peruntukan mengenai pensampelan dalam menjalankan pemeriksaan ke atas barang kawalan yang disita,’’ katanya lagi.
Beliau menambah, kesemua pindaan ini akan membolehkan urusan penguatkuasaan, siasatan, serta pendakwaan berkaitan barangan kawalan dijalankan dengan lebih efektif.
Ujarnya, KPDNHEP turut akan mengusulkan pindaan kepada Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 untuk menggalakkan amalan perniagaan berunsurkan jualan langsung yang baik di negara ini. -Edisi UKAS