ISNIN, 14 MAC 2022
MIRI: Penganjuran Jerayawara Sahabat Astronomi anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bertujuan mahu lebih ramai pelajar-pelajar di negeri ini mengusai subjek-subjek berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, ini sejajar dengan kehendak dan hasrat Kerajaan Sarawak yang mahukan pelajar-pelajar di Sarawak mengambil jurusan Sains menjelang 2030.
“Salah satu objektif Kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDA 2030), adalah untuk mensasarkan sebanyak 45 peratus pelajar sekolah menengah yang mengambil jurusan sains menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam merasmikan Program Jerayawara Sahabat Astronomi 2022 anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak di Bintang Megamall pada Sabtu.
Ini merupakan sambungan siri Jerayawara Sahabat Astronomi 2022 yang telah dilakukan pada tahun lepas di Kuching, Sibu, Bintulu dan Gedong.
Sehingga kini, ia telah menarik minat seramai 6,000 pengunjung dalam mendapatkan pengetahuan tentang ilmu Sains dan Astronomi.
Hadir sama wakil Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Halina Haron Abdillah, Pengetua dan Guru besar serta guru-guru Sains.-EDISI UKAS