Syarikat Korporat Diseru Terus Bantu Golongan Yang Memerlukan

ISNIN, 14 MAC 2022

SERIAN: Syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang berjaya diseru terus membantu golongan kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada menjelaskan, sumbangan mereka boleh meringankan beban masyarakat yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19 sejak dua tahun lepas.

“Hal ini telah menyebabkan kehidupan rakyat terjejas terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai golongan B40,’’ katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan Pertubuhan Kebajikan DANA KITA Zon Sarawak@Bahagian Serian Tahun 2022 di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, kerajaan Sarawak juga telah memperkenalkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 sehingga 8.0 bagi membantu rakyat.

Beliau menegaskan, BKSS telah meringankan beban rakyat sepanjang pandemik COVID-19.

Pada majlis tersebut, sebanyak 1,000 unit bakul makanan hasil sumbangan Pertubuhan Kebajikan DANA KITA telah diagihkan kepada 49 ketua kaum yang mewakili kampung masing-masing di bahagian Serian.

Sementara itu, Dr. Simon meyambut baik penganjuran akitiviti kebajikan tersebut dan berharap agar pertubuhan itu terus menumpukan usaha mereka untuk membantu rakyat di bahagian Serian buat masa akan datang.

“Di peringkat Pusat Khidmat pula, bukan sahaja kita perlu terus menyokong program-program sebegini, malahan juga warga Pusat Khidmat harus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di kawasan DUN Tebedu,’’ ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Serian, Selamat Jati Yanjah. -Edisi UKAS

add comment