SELASA, 15 MAC 2022
SIMUNJAN: Sebanyak 36 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Punggur bersebelahan Sungai Batang Sadong yang terkesan akibat hakisan tanah telah dipindahkan ke tapak baharu.
Menurut Datuk Naroden Majais yang juga Wakil Khas ADUN Gedong merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Datuk Abang Openg, kubur-kubur tersebut telah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Bunting pada Selasa.
Jelasnya, sesi pemindahan kubur-kubur tersebut adalah fasa pertama sebelum disusuli oleh fasa-fasa yang seterusnya.
“Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Punggur ini telah digunakan oleh penduduk Islam di sekitar zon Pangkor sejak dari tahun 1950-an lagi.
“Namun ia mula terjejas oleh hakisan air Sungai Batang Sadong sejak beberapa tahun ini dan kita perlu mencari tapak tanah perkuburan yang baharu,” katanya.
Sesi pemindahan kubur-kubur tersebut telah dikendalikan oleh Ustaz Wan Asagaf dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Samarahan.
Turut hadir pada sesi penggalian semula dan pemindahan kubur-kubur tersebut adalah waris-waris jenazah, wakil dari JAIS dan Majlis Islam Sarawak (MIS).
Dalam masa sama, Jawatankuasa Pemindahan Kubur Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Punggur turut memohon peruntukan sebanyak RM50,000 daripada Premier Sarawak bagi kos keseluruhan operasi pemindahan kubur berkenaan.
Tanah Perkuburan Islam Lubuk Bunting yang seluas lebih kurang empat ekar itu adalah tanah yang telah diwakafkan oleh mantan ADUN Gedong Datuk Naroden Majais. -EDISI UKAS