SELASA, 15 MAC 2022
MIRI: Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) dicadang menganjurkan pertandingan fotografi bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, sambutan pertandingan fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina 2022 amat menggalakan dan ianya perlu diteruskan untuk perayaan-perayaan lain.
“Tahniah kepada NSJA kerana telah berjaya mengadakan pertandingan fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina 2022 dan menerima 120 penyertaan.
“Saya mencadangkan agar pertandingan yang sama turut diadakan pada perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 akan datang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina 2022 yang dianjurkan NSJA pada Isnin.
Tambah Datuk Sebastian Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, karya-karya (gambar) yang cantik boleh dipilih dan diterbitkan menjadi sebuah buku cenderahati pelancongan untuk membantu mempromosikan tarikan di Miri.
Pada masa sama beliau menjelaskan ini adalah bagi mempromosikan Sarawak sebagai tempat yang mempunyai pelbagai etnik, kaum, budaya, bersatu padu dan harmoni.-EDISI UKAS