SELASA, 15 MAC 2022
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengetuai rombongan dari Sarawak untuk menghadiri satu sesi mesyuarat bersama Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia (MEMR), Bapak Arifin Tasrif pada Selasa.
Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan kerja selama dua hari di Jakarta untuk berjumpa dengan kerajaan Indonesia dan memberi sokongan daripada kerajaan Sarawak untuk pembangunan Projek Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP).
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak akan melibatkan diri dalam projek berkenaan menerusi PT Kayan Hydropower Nusantara (PT KHN), salah satu syarikat usaha sama Sarawak Energy Berhad.
“MIHEP kini berada dalam peringkat persediaan yang selanjutnya dan sebagai Menteri bertanggungjawab untuk tenaga, pandangan dan sokongan daripada MEMR terus akan diperolehi terutamanya bagi hal ehwal permohonan permit di bawah kementerian tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MEMR atas sokongan dan bantuan berterusan yang diberikan kepada Sarawak Energy serta PT KHN dalam usaha melaksanakan projek hidroelektrik berskala besar berkenaan.
Antara yang turut serta dalam rombongan tersebut ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, pegawai-pegawai kerajaan Sarawak serta wakil-wakil dari Sarawak Energy. -Edisi UKAS