Kawasan Perumahan Dalam DUN Piasau Akan Dilengkapi Taman Permainan Kanak-Kanak Dan Alatan Kecergasan

SELASA, 15 MAC 2022

MIRI: Orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan perumahan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau tidak perlu pergi jauh untuk bersenam apabila setiap kawasan kediaman perumahan akan dibina Taman Permainan Kanak-Kanak dan memasang alatan kecergasan. 

Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kemudahan ini adalah untuk rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. 

“Memperbaiki kualiti kehidupan seharian dengan bermula dari kawasan kediaman sendiri. 

“Ayuh bersama-sama untuk gaya hidup sihat,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke  3 projek di Taman Delight 1B, Taman Delight 1A dan Taman Delight 8 pada Jumaat. 

Sebanyak RM100,000 telah diperuntukan untuk Taman Delight 1B dan Taman Delight 8, manakala RM150,000 lagi telah diperuntukan untuk Taman Delight 1A bagi membina Taman Permainan Kanak-kanak dan peralatan kecergasan luaran termasuklah pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter.

Datuk Sebastian Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut memaklumkan cadangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021 dengan membina dan memasang peralatan kecergasan luaran serta Taman Permainan Kanak-Kanak di setiap kawasan perumahan dalam DUN Piasau. -EDISI UKAS

add comment