SELASA, 15 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) komited membangunkan kemudahan infrastruktur dan prasarana asas bagi produk-produk pelancongan baharu seperti Kembara Roof Top Tent (RTT) dan ‘Mobile Home’ yang semakin mendapat sambutan.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan aktiviti-aktiviti RTT dan ‘Mobile Home’ ialah ketersediaan kemudahan dan infrastruktur seperti tapak dan fasiliti seperti sambungan tenaga elektrik, perparitan dan saliran untuk air kumbahan.
“Semua kemudahan infrastruktur dan prasarana ini adalah penting bagi menjamin kemudahan dan keselesaan para pelancong,’’ katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam hal ini, beliau memberitahu, kementeriannya melalui pejabat-pejabat MOTAC di setiap negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri yang mempunyai kait rapat dengan bidang kuasa dan tugasan berkaitan.
“Awal tahun ini, MOTAC telah menjemput agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk berbincang mengenai perkara ini.
“Ianya disusuli dengan satu lagi mesyuarat yang diadakan pada minggu lepas,’’ tambah Ahli Parlimen Batang Sadong itu.
Dato Sri Nancy menjelaskan, mesyuarat tersebut bukan sahaja menyentuh dari sudut penyediaan infrastruktur tapak untuk kegunaan ‘Mobile Home’ semata-mata, malah turut melihat dari sudut pembangunan ekosistem yang menyeluruh, antaranya termasuk pembangunan industri pembinaan. -Edisi UKAS