Orang Awam Serah ‘Wak-Wak’ Haiwan Terlindung Kepada SFC Bintulu

SELASA, 15 MAC 2022

BINTULU: Orang awam di Bintulu telah mengambil tindakan tepat apabila menyerahkan seekor haiwan terlindung iaitu Borneon Gibbon (Wak Wak/Empeliau) kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Menurut kenyataan SFC, haiwan tersebut telah dijumpai 5 tahun lepas dalam keadaan separuh sedar dan masih kecil namun tiada kecederaan dikesan, berkemungkinan ia terlepas dari kawalan ibunya.

“Orang awam itu telah mengambil binatang tersebut dan telah menjadikannya binatang peliharaan selama lebih kurang 5 tahun.

“Walau bagaimanapun, beliau mulai sedar selepas mendapat maklumat daripada kakitangan SFC yang menghantar dan mengagihkan poster serta risalah berkaitan dengan Haiwan Terlindung/Terlindung sepenuhnya dan tumbuhan bahawa memelihara Borneon Gibbon (Wak Wak/Empeliau) merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Hidupan Liar 1998.

“Atas dasar tanggungjawab itu, orang awam tersebut telah menghubungi SFC Bintulu untuk melakukan penyerahan,” katanya.

Jelas SFC lagi, binatang tersebut diserahkan kepada Pegawai Penguasa Taman Tumbina Bintulu pada 14 Mac 2022 di Pejabat Tumbina.

Orang ramai yang ingin melaporkan kes-kes atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan hidupan liar boleh menghubungi SFC melalui nombor hotline SFC Kuching (019-8859996), SFC Sibu (019-8883561), SFC Bintulu (019-8332737) dan SFC Miri (019-8290994).-EDISI UKAS

add comment