Pembukaan Hotel Baharu Bakal Rancakkan Sektor Pelancongan Sibu

SELASA, 15 MAC 2022

SIBU: Pembukaan hotel baharu, Starlink Hotel bakal merancakkan sektor pelancongan di Sibu.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II, Datuk Snowdan Lawan, hotel baharu itu juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di bandar itu.

“Hotel baharu ini akan membantu meningkatkan ekonomi pelancongan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk Sibu.

“Sibu terletak di tengah-tengah Sarawak dengan kawasan pedalaman yang luas dan kaya dengan budaya dan warisan. Ramai yang berkata bahawa bandar ini adalah pintu masuk untuk membongkar rahsia Sarawak yang paling disimpan dan ini harus dipromosikan dengan penuh semangat.

“Selain itu, Sibu menampilkan dirinya sebagai bandar pelancongan dan perniagaan yang berpotensi tinggi.

“Dengan membangunkan bandar ini dengan lebih lanjut, kita menjangka dapat menarik lebih ramai pelancong, lebih banyak penganjur acara dan lebih banyak pelaburan ke dalam industri pada masa hadapan,” katanya semasa merasmikan pembukaan Starlink Hotel Sibu pada Isnin bagi mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Datuk Snowdan, Sibu antara bandar di negeri ini yang diberikan tumpuan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 yang dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 2021.

Justeru katanya, kementerian bersama agensi di bawahnya akan berkolaborasi dengan pemain industri pelancongan untuk mengukuhkan Sibu sebagai destinasi pelancongan.

Starlink Hotel yang dimiliki Kumpulan Syarikat Daesim telah mula beroperasi pada akhir November 2021.

Ia mempunyai 11 tingkat yang menyediakan lima jenis bilik dan suite tetamu yang direka bentuk.

Semua bilik tetamu di Starlink Hotel dilengkapi dengan kemudahan modem termasuk penghawa dingin, TV Satelit skrin rata dan akses Wifi percuma.

Hotel ini juga mempunyai empat bilik majlis dengan jumlah kapasiti lebih 200 orang dan 144 bilik tetamu.

Hadir sama ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek; Setiausaha Tetap, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Hii Chang Kee; Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming; Pemanca Datuk Jason Tai; Pengerusi Kumpulan Syarikat Daesim, Dato Lau Ngie Hua, PEngarah Eksekutif, Lau Khian Chung dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh. – EDISI UKAS

add comment