KUCHING: Sarawak United FC (SUFC) bangkit dari dua kekalahan dalam perlawanan Liga Super dengan membelasah Ultimate FC, 7-0 dalam pusingan pertama saingan Piala FA 2022 di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Ahad.
Tuan rumah tidak menunggu lama apabila berjaya mendahului wakil dari Liga M3 itu pada minit kesembilan hasil jaringan pemain import, Boris Kok.
Berselang babak kedua, giliran kapten SUFC, Uche Agba mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-51 selepas menerima hantaran kemas dari Nur Shamie Iszuan Amin.
Nur Shamie yang terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol akhirnya berjaya membolosi gawang Ultimate FC yang dibimbing Azman Adnan pada minit ke-58.
Uche menambah derita Ultimate FC dengan meledak jaringan keempat SUFC hasil sepakan penalti pada minit ke-72 disusuli jaringan cantik Ahmad Khairil Anuar berselang seminit kemudian.
Pesta gol SUFC diteruskan menerusi jaringan penyerang, Mohammad Zharmen Ashraf pada minit ke-81.
Pemain import SUFC, Francis Kone menceriakan lebih 500 penyokong Ngap Sayot termasuk tetamu jemputan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dengan meledak gol ketujuh pada minit ke-86. – EDISI UKAS