SELASA, 15 MAC 2022
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong penuh Projek Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP) yang diusahakan bersama Sarawak Energy dan PT Kayan Hydropower Nusantara (PT KHN).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyertaan Sarawak dalam pembangunan tenaga hidroelektrik di Kalimantan Utara telah dibina di atas perkongsian lama Sarawak-Kalimantan Barat sejak 2016.
“Pengalaman Sarawak Energy dalam kuasa hidroelektrik dan REBID di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merupakan kelebihan tambahan dalam penyertaan Sarawak untuk Taman Tenaga Hijau Tanah Kuning dengan mengukuhkan pembangunan kuasa di taman perindustrian itu,” katanya menerusi kenyataan media selepas mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Indonesia, Bapak Luhut Binsar Pandjaitan di Jakarta, Indonesia pada Isnin.
Selepas pertemuan itu, Datuk Amar Awang Tengah yang mengetuai delegasi Sarawak telah menyaksikan Perjanjian Ketua (HoA) di antara Sarawak Energy dan PT Kayan Patria Pratama (PT KPP) dan PT Adaro.
Perjanjian ini menyaksikan Sarawak Energy di bawah Sarawak Energy Services dan PT KPP di bawah Kayan Investama Internasional sebagai pemegang saham PT KHN akan membangunkan perkongsian dengan PT Adaro dalam pembangunan MIHEP.
Perkongsian itu juga akan membangunkan MIHEP sebagai bekalan tenaga boleh diperbaharui kepada KIPI Tanah Kuning bagi menyokong agenda Pembangunan Industri Berasaskan Tenaga Diperbaharui (REBID) Kerajaan Indonesia.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang mewakili Kerajaan Sarawak merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia di atas sokongan dan bantuan berterusan yang diberikan kepada Sarawak Energy dan PT KHN selama beberapa tahun penyediaan MIHEP yang meluas.
PT KHN ditubuhkan untuk menyokong agenda pembangunan Kerajaan Indonesia membekalkan tenaga lestari berskala besar pertamanya daripada MIHEP untuk menyokong Taman Tenaga Hijau Tanah Kuning.
MIHEP direka untuk menjana kapasiti terpasang 1,375 MW dari sungai Mentarang di Kabupaten Malinau, Provinsi Kalimantan Utara.
Hadir sama delegasi Sarawak ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, pegawai kerajaan lain dan wakil Sarawak Energy.-EDISI UKAS