SELASA, 15 MAC 2022
SIBU: Taman Selera Harmoni Sibu yang menempatkan seramai 47 peniaga kini menjadi zon halal terbesar di Sarawak selepas menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Clarence Ting Ing Horh, pengiktirafan itu sangat penting untuk menarik kedatangan pelancong Islam khususnya dari Semenanjung Malaysia atau Indonesia ke bandar itu.
“Orang dari luar Sibu ada mengadu bahawa selain hotel, tidak ada tempat lain di mana mereka boleh mencari makanan halal. Sekarang gerai Taman Harmoni sudah disahkan halal sepenuhnya.
“Ini adalah langkah penting untuk menarik kedatangan pelancong dari luar ke Sibu tidak kira dari Semenanjung atau Indonesia atau mana-mana pengunjung Islam.
“Mungkin ada yang melihat perkara ini tidak terlalu penting, namun bagi masyarakat Islam, ia adalah sesuatu yang sangat mustahak untuk memiliki sijil halal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis ringkas pemberian surat makluman kelulusan Permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada peniaga di Taman Selera Harmoni Sibu pada Isnin.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Khalidi Ibrahim dan Ketua Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Ramzen Ambi.
Menurutnya, rancangan SMC seterusnya untuk mendapatkan sijil halal bagi medan selera Bandung Walk.
Sementara itu, Ramzen berkata Taman Selera Harmoni Sibu merupakan zon halal yang ketiga dan terbesar di Sarawak.
Katanya, JAIS juga merancang untuk mengisytiharkan enam lagi tempat di seluruh negeri Sarawak sebagai zon halal sepenuhnya iaitu dua di Kuching dan masing-masing satu di Serian, Daro, Bintulu dan satu di Miri sekaligus menjadi yang terbesar di negeri ini dengan 64 penjaja. – EDISI UKAS