SELASA, 15 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Satu rangka kerja perundangan yang komprehensif sedang dirumus untuk mengawal selia semua aktiviti kredit pengguna termasuk kaedah pembelian ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL).
Menurut Timbalan Menteri Kewangan II Malaysia, Yamani Hafez Musa, usaha ini sedang dilakukan melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA) pada tahun ini.
“Melalui penggubalan CCA, semua pemberi kredit termasuk BNPL akan tertakluk kepada peraturan-peraturan yang bukan sahaja berkait rapat dengan sistem pengurusan malahan juga dengan hal ehwal kawalan risiko serta perlindungan pengguna,’’ katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambah beliau, penggubalan tersebut juga merangkumi peraturan pematuhan syariah yang bersesuaian dalam pelaksanaan aktiviti BNPL.
Sebelum, Lukanisman mengajukan soalan mengenai usaha Kerajaan untuk memantau kaedah pembelian BNPL di platform perdagangan dalam talian.
Sementara itu, Yamani menasihati para pengguna agar terus membuat keputusan bijak sebelum melakukan pembelian yang melibatkan kaedah berkenaan.
“Patuhi tiga perkara penting berkaitan urusan BNPL iaitu fahami terma dan syarat terutamanya berkaitan yuran dan caj yang dikenakan, pastikan pembayaran ansuran boleh dibuat pada masa tepat untuk mengelak caj penalti, serta pantau semua komitmen BNPL yang dibuat demi menjamin pengurusan hutang peribadi yang baik,’’ ujarnya. -Edisi UKAS