RABU, 16 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Sebanyak 198 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dari Sarawak dan Sabah.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, statistik tersebut adalah berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2017 hingga 15 Februari 2022.
“Dalam tempoh tersebut, sejumlah 9,259 permohonan kewarganegaraan telah diterima untuk kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dari Sarawak dan Sabah,’’ jelas beliau dalam jawapan bertulis sebagai menjawab Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang di Dewan Rakyat pada Isnin.
Terdahulu, Datuk Rubiah bertanya mengenai status terkini bilangan permohonan kewarganegaraan serta jumlah yang diluluskan khususnya untuk golongan tersebut yang belum ditentukan berasal dari Sarawak atau Sabah. -Edisi UKAS