Bandar Mutiara Lokasi Program Desa Fair Tebedu 3 April Ini

RABU, 16 MAC 2022

TEBEDU : Bandar Mutiara di pilih sebagai lokasi Program Desa Fair yang akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, pada 3 April ini.

Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw berkata, program tersebut bertujuan untuk mempromosikan semula Bandar Mutiara yang selama ini digelar ‘The Dead Town’.

Bercakap semasa mempengerusikan mesyuarat Pejabat Daerah Tebedu pada Rabu, beliau memberitahu, cetusan idea mahupun inisiatif untuk mengadakan program berkenaan adalah daripada Dr simon sendiri yang mana beliau percaya Bandar Mutiara berpotensi dijadikan lokasi tarikan pelancong menerusi Desa Fair itu nanti.

Menurut Joseph, perincian Program Desa Fair akan diselitkan dengan pentas hiburan yang mana pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan daripada penghibur tempatan. 

Dalam masa sama, penduduk setempat dan sekitarnya juga berpeluang membuka gerai pelbagai jualan khususnya memasarkan produk pertanian, ternakan, minuman dan makanan tempatan yang membantu meningkatkan sosio ekonomi.

Justeru, penduduk yang berminat untuk membuka gerai jualan mereka boleh berhubung terus dengan pihak Pejabat Daerah Tebedu atau dengan menghubungi talian 082 – 791111.

Tambah Joseph lagi, kemasukan adalah percuma dengan pengamalan norma baharu iaitu pengunjung wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). -EDISI UKAS

add comment