RABU, 16 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun yang belum mengambil suntikan vaksin COVID-19 masih dibenarkan menghadiri sesi persekolahan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hal ini sedemikian kerana pemberian vaksin dilaksanakan secara sukarela bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan.
“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memberikan kebenaran bertulis untuk anak divaksinasi,’’ jelas beliau dalam jawapan bertulis sebagai menjawab Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tegas beliau pula, kanak-kanak tersebut perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia semasa hadir ke sekolah.
Terdahulu, Dato Sri Rohani mengemukakan soalan berkenaan pendirian kerajaan terhadap hak mendapat pendidikan bagi kanak-kanak yang tidak dibenarkan mendapat vaksin oleh ibu bapa. -Edisi UKAS