RABU, 16 MAC 2022
KUCHING: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak telah membuktikan kemampuan dan kebolehan apabila berjaya merangkul tiga anugerah dalam Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-kanak (AIMPAK) Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, Pahang pada Ahad.
Pada majlis itu, KEMAS Negeri Sarawak yang diwakili Amalina Bujang Narawi dari daerah Simunjan telah mendapat Johan bagi Anugerah Amalan Terbaik PdPR Kategori TABIKA.
Manakala, Helina Chelin Entili berjaya menggondol dua anugerah iaitu Anugerah Video PdPR Paling Popular dan juga Naib Johan bagi Anugerah Amalan Terbaik PdPR Kategori TASKA.
Menurut KEMAS Negeri Sarawak, kejayaan yang dicapai ini suatu yang membanggakan sekaligus menaikkan lagi semangat pendidik masyarakat ini untuk lebih konsisten dalam menghasilkan bahan-bahan pembelajaran yang lebih bermutu dan berkualiti kelak.
Di samping itu juga memberikan inspirasi kepada semua pendidik masyarakat yang lain amnya untuk sama-sama mencuba dan menyerlahkan bakat masing-masing kerana sudah pasti ada bakat terpendam yang belum nampak cuma perlu digilap sahaja lagi supaya lebih bersinar.
Hadir sama di Majlis Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-Kanak (AMPAK) Peringkat Kebangsaan ialah Pengarah KEMAS Sarawak Khairuddin Mohd Naser. -EDISI UKAS