RABU, 16 MAC 2022
BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing menggesa Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) agar Projek Pembinaan Laluan Basikal di Dewan Suarah Bintulu dilaksanakan dengan baik, berkualiti dan memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat Bintulu.
Katanya, kemudahan itu perlu dibina mengikut skala yang betul untuk memastikan keselamatan penunggang basikal yang kini menjadi trend dan pada masa sama mempromosikan sukan tempatan.
“Saya menyeru agar pembinaan kemudahan yang berkaitan untuk menyediakan persekitaran sukan riadah yang lebih luas, selesa dan selamat kepada orang ramai sebagai matlamat utama, dan berusaha untuk menjadikan Bintulu sebagai sebuah bandar sihat, cergas dan selesa didiami,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Aktiviti berbasikal adalah antara sukan yang popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pembinaan lorong basikal ini boleh menjamin keselamatan mereka yang minat dalam sukan berbasikal.-EDISI UKAS