Pembinaan BBP Tebedu Dirancang Untuk RMK12

RABU, 16 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebedu telah dirancang untuk dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Ketiga Tahun 2023.

Namun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, cadangan yang akan dilaksanakan melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu adalah bergantung kepada kelulusan agensi pusat serta keupayaan peruntukan kewangan semasa.

“Setakat kini juga, kawasan Bandar Mutiara Tebedu telah mendapat khidmat kebombaan daripada BBP Serian dengan jarak 38 kilometer yang mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai ke kawasan tersebut,’’ katanya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri (Dr) Richard Riot Jaem di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu, jelas beliau, Kementeriannya telah merancang untuk mempertingkatkan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti di kawasan Tebedu.

“Ianya dirancang bagi memastikan penduduk kawasan berkenaan mendapat perkhidmatan kebombaan yang sewajarnya.

“Pasukan ini akan bertindak sebagai pasukan tindak balas awal kecemasan sementara menunggu ketibaan anggota bomba dari balai yang berhampiran,’’ tambah Dato’ Sri Reezal Merican.  

Ujarnya, pada masa ini, terdapat 12 pasukan tersebut di Tebedu yang mendapat latihan dan dibekalkan dengan alat pemadam api oleh JBPM Negeri Sarawak. -Edisi UKAS

add comment